Khamis, 9 Disember 2010

Syabas, memang SYABAS

Masya Allah. Kayanya dia. Tapi masih mahu naikkan harga bil air sebanyak 37 peratus. lihat di sini.

Aku bukan nak pertikaikan gaji dia, kalau Allah dah tetapkan itu rezeki dia yang halal dan secara baik, aku redha. Tapi aku cuma nak persoal kenapa melampau pemberian gaji itu, sedangkan air pada asasnya adalah sumber dan hasil mahsul dari Kerajaan kepada Rakyat, yang sepatutnya tiada caj, namun jika dikenakan caj, mestilah berpatutan dan murah.

Semalam aku jumpa kawan lama sekolah menengah dulu, sekarang dia kerja dengan SYABAS. Dengar cerita, sebab kes SYABAS dengan Kerajaan Negeri Selangor seolah tiada penghujung, maka CEO SYABAS yang gajinya hampir mencecah RM 500,000.00 sebulan sedang berkira-kira hendak mengambil alih FELDA pula.

Rupanya inilah dia antara kaum bumiputera yang dibantu oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tahniah Kerajaan BN kerana selama lebih 50 tahun memerintah Malaysia, yang kaya hanya kawan mereka sahaja, bukannya keseluruhan bumiputera. TAHNIAH

Awal Muharram bukan Tarikh Hijrah

Satu Muharram detik permulaan,
Perkiraan tahun Islam Hijrah,
Perpindahan Nabi dan Umat Islam,
Dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Saban tahun, apabila menjelang tanggal Satu Muharram, kita akan bersungguh-sungguh menyambut (dengan cuti) dengan perayaan dan sambutan sama ada di dewan atau pun di tempat awam lain.

Sejak kecil kita sudah dimomokkan dengan lagu hijrah di atas dan juga sering diingatkan bahawa Nabi Muhammad, Rasul yang Agung dan Mulia, telah berhijrah pada tarikh dan bulan Muharram. Sehingga diwujudkan pemberian anugerah Tokoh Ma'al Hijrah kepada penerima yang berbilang kaum dan agama. rujuk di sini. dan juga di sini.

Bukan isu pemilihan penerima anugerah yang ingin diangkat pada kali ini, namun apa yang ingin diutarakan ialah isu Awal Muharram yang dikaitkan dengan Peristiwa Hijrah Nabi adalah tidak tepat sama sekali.

Memetik dari blog Minda Tajdid milik Dr. Asri:

1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.

2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.

Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.

Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.

3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).

Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.

4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.

6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.

7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.

8. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.

9. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.

Jadi kepada semua, diharapkan agar membetulkan kefahaman mengenai konsep Hijrah dan Awal Muharram. Bukanlah menjadi satu dosa sekiranya salah faham pada masalah ini, namun bukankah lebih baik dan afdhal bagi Muslim untuk mencintai Rasul dan Persitiwa Hijrah dengan mengaplikasikannya dalam diri kita?

Fikir-fikirkan dan salam satu akidah..

Minyak Naik Lagi......

Bagi kebanyakan orang, mungkin kenaikan harga minyak sebanyak RM 0.05 seliter bukanlah membebankan, dan ia hanyalah satu isu murahan yang dijaja pihak pembangkang. Saya bukanlah penyokong mana-mana pihak dan tidak mudah terpengaruh akan dakyah songsang. Namun isu kenaikan harga minyak ini adalah isu besar dan penting kepada kita semua. Ia berkait rapat dengan banyak aspek termasuk moral, suasana dan realiti masakini.

Pertamanya, isu masakini di Malaysia. Harga barang makin naik dan terus naik seolah-olah tiada kawalan. Yang makin kaya akan terus kaya dan yang miskin makin miskin. Justeru jurang perbezaan antara keduanya makin melebar. Tiada gunanya melaungkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang kononnya membantu kaum bumiputera mendepani pembangunan mapan jika jurang miskin dan kaya terus membesar. Yang dibela oleh DEB mungkin segelintir kaum bumiputera yang rapat dengan pemerintah manakala keseluruhan bumiputera yang lain masih menagih simpati untuk hidup. Lihat statistik yang diambil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan Consumer Price Index yang menokok sebanyak 2 peratus. (lihat sini) Apa maknanya kenaikan 2 peratus dalam CPI tersebut? Kenaikan itu bermaksud harga barang yang sama dibeli pada tahun lepas telah meningkat sebanyak 2 peratus pada tahun ini, sedangkan pendapatan dan gaji orang ramai masih di takuk lama.

Dan mungkin antara kita tidak pernah terfikir bahawa dengan kenaikan bahan api/minyak, ia akan mendorong kenaikan tarif elektrik. lihat di sini. juga di sini

Puas hati??


Mungkin ramai antara kita tidak pernah terbaca hadis Rasulullah berkaitan pemimpin yang menipu rakyat dan zalim. Kerana kita sering dimomokkan bahawa pemimpin mesti Orang Melayu, Ketuanan Melayu dan sebagainya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, ia berkata, "Rasulullah saw. bersabda, 'Ada tiga jenis yang Allah tidak akan mengajak berbicara mereka pada hari kiamat, tidak akan mensucikan mereka, tidak melihat kepada mereka dan bagi mereka siksaan yang pedih. Orang tua yang berzina, raja/pemimpin yang berdusta, dan orang miskin yang sombong'," (HR Muslim [107]).

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw, beliau bersabda, "Tidaklah seorang lelaki memimpin sepuluh orang atau lebih kecuali ia akan mendatangi Allah Azzawajalla dalam keadaan terikat dari tangan hingga lehernya pada hari kiamat. Kebaikan yang ia lakukan akan melepaskannya dari ikatan atau dosanya akan membuat dirinya celaka. Awalnya celaan, pertengahannya penyesalan dan akhirnya merupakan kehinaan pada hari kiamat," (Hasan, HR Ahmad [V/267]).

Masih diriwayatkan dari Abu Umamah r.a, Rasulullah saw. bersabda, "Ada dua jenis ummatku yang tidak akan mendapat syafa'atku: pemimpin yang zhalim dan berbuat semena-mena, setiap orang yang melapui batas dan sesat," (Hasan, HR at-Thabrani [8027]).

Diriwayatkan dari Amr bin Murrah, ia berkata, "Aku katakan kepada Muawiyyah bin Abi Sofyan, 'Aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda, 'Tidaklah seorang pemimpin atau seorang penguasa menutup pintunya dari orang-orang yang memiliki kebutuhan dan keperluan serta orang-orang fakir, kecuali Allah akan menutup pintu langit dari keperluan dan hajatnya'."

Amr bin Murrah berkata, "Sejak itu Muawiyah menunjuk seorang wakilnya untuk mengurusi kebutuhan masyarakat," (Shahih, HR at-Tirmidzi [1332]).


Yang keduanya berkenaan isu moral. Pemimpin sejati ialah pemimpin yang memahami hasrat dan perasaan rakyat keseluruhan, bukan pemimpin yang hanya pandai berkata-kata tanpa pelaksanaan kata-kata itu. (lihat sini) dan juga di sini

Diriwayatkan dari Ma'qil bin Yasar r.a, bahwa ia pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Tidak seorang hamba pun yang mendapat amanah dari Allah untuk memimpin rakyat, lantas ia meninggal pada hari meninggalnya dalam keadaan mengkhianati rakyatnya kecuali Allah haramkan atasnya surga," (HR Bukhari [7150]).


Sekarang, fikir-fikirkan dan fahamkan bahawa penentangan rakyat terhadap kenaikan RM 0.05 bukan kerana kenaikan harga itu, tetapi kerana apa yang disebutkan di atas. Apa yang baik, moga Allah berikan keberkatan kepada kita semua dan yang buruk moga Allah lindungi kita dari kejahatan makhlukNya.